10 Ogos 2015

Inhalan

Apakah inhalan?

Inhalan dikenali juga sebagai bahan hiduan atau sedutan adalah bahan mudah meruap (volatile) yang dihidu atau disedut untuk menimbulkan kesan psikoaktif atau merangsangkan perubahan minda.

JENIS-JENIS INHALAN
Umumnya, inhalan boleh dibahagikan kepada tiga kategori utama iaitu:

1. PELARUT MUDAH MERUAP
Merupakan cecair yang akan meruap pada suhu bilik. Pelarut ini didapati dalam kebanyakan produk-produk yang biasa digunakan di rumah atau untuk tujuan penggunaan perubatan dan industri. Produk-produk tersebut termasuklah cat dan penipis/pelarut cat, bahan pelindung fabrik, penanggal gris, bahan pengilat, minyak gas, minyak petrol, gam dan pelekat, cecair pemadam dan dakwat pen.
 2. BAHAN GAS
Merupakan bahan yang banyak digunakan dalam perubatan seperti eter, klorofom, haloten dan nitrous oksida. Produk kegunaan di rumah yang mengandungi gas termasuklah pemetik api yang berisikan gas butana, tong gas propana dan gas peti sejuk iaitu freon. Penyembur aerosol pula biasanya mengandungi kedua-dua bahan pelarut dan gas. Antara penyembur aerosol yang mudah didapati di rumah adalah cat penyembur, semburan pewangi, penyembur rambut dan penyembur pelindung fabrik.                                                                                                                                                                                                                                        

3. BAHAN NITRIT 
Merupakan sejenis bahan sedutan yang sering digunakan sebagai pemangkin seks dan mudah diperolehi di kelab-kelab malam. Antara bahan nitrit yang biasa digunakan adalah sikloheksil nitrit, amil nitrit dan butil nitrit yang terdapat dalam sebahagian jenama penyegar udara. Nama lain yang biasa dikenali oleh penagih ialah Climax, Rush, Locker Room dan Popper.
Inhalan berbentuk bahan mudah meruap dan bahan gas lebih digemari oleh golongan awal remaja, walau pun terdapat juga golongan dewasa yang menggunakannya. Orang dewasa biasanya terdedah kepada bahan sedutan melalui pekerjaan mereka, manakala golongan remaja yang lebih berumur biasanya memperolehi dan terdedah kepada bahan nitrit di kelab-kelab malam.                                                                                                                                                                                                               

Kesan-kesan Buruk INHALAN
                                                                                                                            Kebanyakan inhalan bentuk pelarut dan gas akan menyebabkan penagih berasa khayal. Kesannya seakan sama dengan mabuk akibat meminum alkohol yang banyak. Perasaan khayal ini biasanya berlaku selama 15 hingga 45 minit dan akan berterusan sehingga satu hingga dua jam.
Sekiranya kuantiti atau kepekatan inhalan itu tinggi, penagih mungkin hilang deria rasa, dan seterusnya tidak sedarkan diri. Sekiranya wap inhalan disedut dengan kuat dan dalam, atau digunakan dengan banyak dalam tempoh yang singkat, seseorang itu akan hilang kawalan diri, berkelakuan agresif, tidak sedarkan diri, atau mati. Seiringan itu, penagih juga akan berasa loya dan muntah. Jika muntah terjadi ketika pengsan, kematian boleh berlaku akibat tersedak dan kesesakan nafas. Seandainya inhalan yang dihidu berkepekatan tinggi, akan mengakibatkan kegagalan jantung dan kematian mengejut boleh terjadi. Hiduan boleh membunuh walau pun kali pertama atau pun hiduan seterusnya. Inhalan yang pekat menyebabkan kesesakan nafas akibat kekurangan oksigen. Selain itu, penekanan sistem saraf pusat yang serius boleh melambatkan dan seterusnya menghentikan proses pernafasan.                                                                     
Seperti penagih benda-benda lain, inhalan boleh mengakibatkan pergantungan fizikal dan psikologi kepada penagih jika digunakan untuk beberapa hari atau lebih. Penagihan yang berterusan dalam jangka masa panjang boleh mengakibatkan kerosakan sel-sel otak yang kekal. Penagih akan hilang daya tumpuan, mudah marah, hilang ingatan, mengalami kekeliruan serta kemurungan. Selain itu, selera makan serta berat badan penagih turut merosot. Penagih juga akan mengalami keletihan serta kawalan pergerakan badan akan turut terjejas.                                                              Sebahagian inhalan juga boleh merosakkan organ-organ utama badan seperti paru-paru, hati, buah pinggang, darah dan sum-sum tulang. Bahan nitrit yang disedut bertindak membesarkan salur darah, meningkatkan kadar degupan jantung dan menghasilkan keseronokan yang mampu bertahan selama beberapa minit sahaja. Kesan-kesan lain adalah rasa panas, pening dan sakit kepala. Bahan nitrit dipercayai berupaya menambahkan keseronokan dan keupayaan seksual.




BAHAN KIMIA BERBAHAYA YANG TERDAPAT DALAM INHALAN
·         Amil nitrit, Butil nitrit
Poppers, Climax, Rush
·         Benzene
Minyak petrol
·         Butane, Propane
Cecair pemetik api, semburan cat dan rambut
·         Metilena klorida
Penanggal/penipis cat, penyahgris
·         Nitrous oksida,
Krim ‘whipping’, tangki gas
·         Toluin
Minyak petrol,gam, penanggal/penipis cat, cecair pemadam
·         Trikloroetilena
Penanggal kotoran, penyahgris, cecair pemadam
·         Heksana
Gam, Minyak Petrol
                                                                                                                                              
Kesan kepada PENAGIH inhalan
·         Kematian mengejut kerana dihidu, ketahanan badan berkurang, kerosakan sel darah merah;
·         Kerosakan sum-sum tulang, ketahanan badan berkurang, risiko penyakit leukemia bertambah, kerosakan sistem pembiakan, kematian mengejut melalui kesan ke atas jantung, kesan terbakjar yang teruk;
·         Mengurangkan keupayaan darah untuk membawa oksigen, perubahan otot dan denyutan jantung;
·         Kematian akibat kurang oksigen di otak, pengsan, fungsi jantung terjejas; dan
·         Kerosakan otak (hilang kewarasan fikiran dan keseimbangan badan, hilang penglihatan dan pendengaran), hati dan buah pinggang.
Kematian mengejut akibat dihidu, sirosis hati, kerosakan pendengaran dan penglihatan, komplikasi sistem pembiakan, kekejangan anggota badan, kebas.
                                                                                                           
                                

Kenali PENAGIH inhalan

Tanda-tanda berikut boleh membantu para ibu bapa, rakan sebaya, dan guru mengesyakki atau mengesan penagihan inhalan di kalangan anak-anak, rakan-rakan dan murid-murid:
·         Terdapat bekas-bekas cat atau pelarut serta kain buruk atau pakaian yang telah dicelup dengan bahan tersebut yang cuba disembunyikan di dalam laci atau almari di bilik tidur;
·         Remaja tersebut seringkali mengalami loya-loya, hilang selera makan, pertuturan yang kurang jelas, serta kelihatan tidak terurus;
·         Remaja terbabit kelihatan mengalami kurang daya tumpuan, mudah marah dan murung;
·         Terdapat bau bahan kimia pada nafas, badan, pakaian dan di bilik tidur;
·         Kesan cat atau bahan seumpamanya di kawasan muka, tangan, atau pakaian;
·         Terdapat bintik-bintik merah dan pecah-pecah di sekitar mulut dan hidung; dan

·         Mata seringkali kelihatan berair, merah dan berkaca, serta hidung berair.\

Tiada ulasan:

Catat Ulasan