Alkohol yang digunakan untuk
minuman dibuat melalui proses penapaian atau penyulingan buah-buahan,
sayur-sayuran atau bijirin. Antara bahan yang paling biasa digunakan ialah
anggur, epal, beri dan pelbagai jenis bijirin dan sayuran. Daripada bahan-bahan
inilah dihasilkan minuman seperti wiski, wain, bir, vodka, samsu dan lain-lain
lagi.
Jumlah peratusan alkohol di dalam sesuatu
minuman tersebut adalah berbeza-beza dan perlu diberi perhatian. Misalnya di
Malaysia, bir disulingkan sehingga mengandungi empat hingga lima peratus
alkohol, stout lapan peratus, wain 10% hingga 14%, manakala wiski, vodka
atau brandi pula mengandungi 40% alkohol.
KESAN PENAGIHAN ALKOHOL
AMALAN meminum minuman keras atau
minuman beralkohol merupakan suatu tabiat buruk terutama sekali pada remaja
kita masa kini. Masalah ini sama seriusnya dengan masalah-masalah sosial lain
yang melanda negara kita. Malah masalah ini kian hari kian meruncing. Negara
kita memerlukan generasi remaja yang sihat dan kuat untuk meneruskan cabaran
pembangunan negara masa hadapan.
Kita tidak mahu lihat remaja kita
lemah dan khayal dalam dunia mereka sendiri.
Larangan agama sememangnya berasas. Malah, setiap agama di dunia
ini turut melarang tabiat tersebut di kalangan para penganutnya. Selain
memabukkan alkohol juga memudaratkan kesihatan diri sekiranya diamalkan
berterusan. Minuman beralkohol umpama kombinasi dadah dan racun kepada
badan kita.
Namun, memang ada sedikit
manfaat alkohol seperti kegunaannya sebagai agen pembunuh kuman, penawar untuk
keracunan metanol, atau agen penyejuk bagi melegakan demam panas. Namun begitu,
memang tidak dapat disangkal bahawa keburukan daripada kesan meminum alkohol
jauh mengatasi kebaikannya.
Pada asasnya selepas diminum,
alkohol akan meresap dari usus kecil ke dalam darah. Alkohol terus dibawa
ke jantung yang kemudiannya mengepam darah beralkohol tadi ke seluruh tubuh.
Dari sini ia terus meresap ke dalam otak dan seterusnya ke urat saraf. Otak
merupakan salah satu organ penting yang dimiliki oleh manusia kerana otaklah
yang mengawal segala pergerakan dan perlakuan seseorang. Dengan kemasukan bahan
asing ini ke dalamnya pergerakan dan kelakuan si peminum akan dipengaruhi
secara langsung. Inilah yang membuatkan kebanyakan kaki botol bertindak di luar
batas kemanusiaan. Mereka sudah tidak lagi dapat berfikir dengan betul.
Di
dalam otak alkohol akan menyebabkan penindasan kawasan-kawasan yang biasanya
mengawal maruah dan disiplin diri sehingga peminum mula merasa kurang sifat
malu, fikiran bercelaru, dan pergerakannya pula agak tidak
terkawal. Peminum juga kurang keupayaan dari segi belajar, membentuk idea
spontan, menumpukan fikiran, dan membuat pertimbangan yang teliti. Semakin
banyak jumlah alkohol yang diminum semakin kuat otak tertindas sehinggakan
boleh menyebabkan tidak sedarkan diri dan seterusnya kematian.
Kesan alkohol yang paling bahaya
adalah kesan pada hati. Setiap kali seorang peminum mengambil alkohol, hatinya
mendapat luka. Sel hati akan mati dan menjadi parut. Parut ini akan
mengurangkan kemampuan hati untuk berfungsi dengan sempurna. Parut yang serius
akan menyebabkan hati tidak dapat berfungsi langsung. Keadaan ini disebut
sirosis hati dan boleh membawa maut.
Bengkak hati (hepatitis) juga
boleh berlaku disebabkan oleh lebihan toksik alkohol. Pada mulanya ia
menyebabkan hati mengembang dan lama kelamaan saluran darah akan mengecut. Ini
menyebabkan darah tidak dapat mengalir ke hati dengan sempurna dan akhirnya
saluran darah akan membengkak lalu pecah. Pada peringkat kritikal, penghidap
hepatitis akan mengalami muntah darah dan najis mereka akan bercampur dengan
darah.
Alkohol juga menyebabkan
kerengsaan perut (gastritis) yang akhirnya boleh membawa kepada ulser. Bagi
mereka yang memang menghidapi ulser perut, sakitnya akan menjadi semaking
teruk.
Kerosakan
saraf boleh menyebabkan pelbagai jenis penyakit seperti sindrom
Wernicke-Korsakoff dan kerosakan sel-sel otak, yang seterusnya membawa
kepada komplikasi psikiatri. Peminum boleh mengalami halusinasi pendengaran, amnesia, paranoia,
depresi dan kecenderungan membunuh diri.
Peminum alkohol kronik
yang sedang hamil boleh menyebabkan kandungannya mempunyai ciri-ciri kecacatan
seperti kekurangan berat badan, saiz kepala yang terlalu kecil berbanding
tubuh, kurang penyelarasan otot, keadaan muka yang rata, dan kelemahan
sendi-sendi.
Selain daripada kesan-kesan di
atas, alkohol juga bertindak dengan pelbagai sistem dan organ tubuh. Contohnya,
kesan terhadap sistem peredaran tubuh menyebabkan darah lebih banyak dialirkan
ke kulit. Ini menyebabkan kulit peminum menjadi kemerah-merahan dan perpeluhan
meningkat. Pengepaman jantung juga bertambah pantas dan kuat seperti individu
yang sedang melakukan senaman. Kepada penghidap penyakit jantung, mereka
mempunyai kemungkinan diserang penyakit itu.
Peminum alkohol juga didapati
lebih cenderung membuang air kecil dengan kerap kerana etanol boleh merencat
hormon penahan kencing. Peminum alkohol juga mungkin mengalami anemia,
hipoglisemia (kekurangan gula di dalam darah), dan ketandusan
vitamin. Bagi perokok yang meminum alkohol boleh meningkatkan risiko
kanser sebanyak 15 kali terutamanya pada bahagian mulut dan tekak.
Selain daripada kesan ke atas kesihatan ia boleh juga menimbulkan pelbagai
masalah sosial. Masalah ketagihan alkohol boleh merosakkan hubungan
persahabatan, kehilangan pekerjaan, hutang, simpanan keluarga dihabiskan,
masalah rumah tangga, penganiayaan, penderaan, keruntuhan moral dan sebagainya.
Kajian menunjukkan seramai 1400
pelajar kolej di Amerika Syarikat terbunuh pada setiap tahun berikutan
pengambilan alkohol yang berlebihan. Di antara penyebab kematian adalah
kemalangan motosikal dan kereta merupakan kes yang paling kerap berlaku.
Selain itu, laporan statistik berkenaan juga mendapati kematian akibat alkohol
turut melibatkan kemalangan akibat terjatuh dan mati lemas.
Situasi tersebut secara tidak langsung
menggambarkan pengambilan alkohol di kalangan pelajar di Amerika Syarikat
khususnya remaja yang merupakan satu budaya yang sukar dihakis. Sudah tentu
kita tidak mahu lihat remaja di negara kita mengalami nasib yang sama. Masa
depan negara terletak di tangan mereka.