AKIBAT KE ATAS DIRI PENAGIH
Akibat yang jelas ialah dari segi tingkahlaku diri
penagih itu sendiri. Si penagih akan menjauhkan diri daripada masyarakat umum
dan bergaul hanya dengan kumpulan penagih-penagih dadah, penjenayah serta
penipu .
Ia tidak bertanggungjawab kepada kerja atau
persekolahannya. Dari segi fizikal, penagih menjadi kurus, lemah tenaga, malas
dan kelihatan berada dalam khayalan.
Penagih boleh kehilangan tenaga seks, pitam, pengsan,
berperasaan ganas, rasa ketagihan yang berlebihan, sakit perut dan
berkemungkinan mati kerana mengambil dadah yang berlebihan.
Daya tahan
badan penagih akan menjadi lemah dan ia mudah dijangkiti pelbagai penyakit
seperti kancing gigi, mandul dan sebagainya.
AKIBAT KE ATAS KELUARGA PENAGIH
Maruah dan nama baik keluarga penagih akan tercemar dalam
kalangan masyarakat.
Diri penagih boleh menjadi beban kepada keluarga kerana
terpaksa menghabiskan masa, tenaga dan wang yang banyak untuk merawatnya.
Harapan ibu bapa ke atas anak yang telah terlibat dengan
dadah telah musnah. Rumah tangga akan menjadi porak peranda. Perpisahan dan perceraian
antara ahli keluarga mungkin berlaku.
AKIBAT KE
ATAS MASYARAKAT
Suasana hidup dalam masyarakat tidak lagi tenteram kerana
terdapatnya kejadian mencuri, merompak dan lain-lain yang dilakukan oleh
penagih-penagih yang memerlukan wang untuk membeli dadah.
Didapati 40% daripada banduan penjara adalah penagih dadah. Keadaan seperti ini
sudah tentu menggangu keamanan, ketenteraman, ketertiban peraturan dan
undang-undang negara. Perpaduan, pembangunan dan kemajuan masyarakat boleh
terjejas akibat penglibatan anak muda dengan dadah.
AKIBAT KE ATAS NEGARA
Negara dan masyarakat terpaksa menanggung kos yang tinggi
akibat daripada masalah dadah yang melanda negara ini. Kos yang tinggi
ditanggung oleh negara atau masyarakat, dari segi kos nyata (tangible) dan kos tidak nyata (intangible).
Kos nyata termasuklah:-
- Kehilangan/kerugian
pengurangan daya pengeluaran ekonomi.
- Kos bagi
menyediakan kemudahan-kemudahan rawatan dan pemulihan penagih dadah.
- Kos
bagi menyelenggara program-program pencegahan.
- Kos kerana kerugian akibat daripada
aktiviti-aktiviti jenayah yang berkaitan.
- Kos bagi meneruskan kegiatan penguatkuasan
seperti menambahkan bilangan anggota polis, kakitangan jabatan penjara,
makamah, hospital dan sebagainya.
Kos
tidak nyata yang menyebabkan kerugian lebih besar yang mana sukar ditentukan
jumlahnya dengan tepat, termasuklah ketakutan dan kekecewaan yang dialami oleh
masyarakat dan mangsa aktiviti-aktiviti jenayah yang dilakukan oleh penagih dan
pengedar dadah. Golongan masyarakat yang terbesar terlibat dengan masalah dadah ialah kaum belia yang menjadi
tulang belakang pembangunan negara dan bakal pemimpin. Perangkaan yang lalu
membuktikan bahawa dari jumlah penagih yang dikesan, kira-kira 65% adalah
terdiri daripada kaum belia yang berumur di antara 20-29 tahun. Ini jelas
menunjukkan bahawa golongan yang menghadapi risiko yang tinggi ialah kaum belia
yang menjadi harapan nusa dan bangsa.
Kesan dadah yang lebih buruk kepada negara ialah dari
segi keselamatan dan ketahanan negara. Pengganas
komunis dan anasir subvertif boleh menggunakan dadah sama ada :-
- untuk menghancurkan nilai-nilai, ahklak dan
maruah negara secara langsung.
- untuk menjadikan dadah sebagai punca kewangan
bagi membiayai perjuangan mereka dan secara tidak langsung mendatangkan kesan
buruk kepada keselamatn negara.
Kegiatan seperti ini telah terbukti di negara Burma,
Afghanistan dan dibeberapa buah negara Latin Amerika serta semasa penyerahan
Hong Kong kepada British selepas Perang Candu di abad ke lapan belas.