10 Ogos 2015

HIV/AIDS

daripada Human Immunodefiency Virus iaitu sejenis virus yang boleh melumpuhkan serta membinasakan sistem keimunan badan individu.
Manakala AIDS ialah singkatan bagi Acquired Immune Deficiency Syndrome (Sindrom Kurang Daya Tahan Penyakit) yang merujuk kepada daya keimunan atau pertahanan badan yang bertahan daripada serangan penyakit berkurangan sehingga ke tahap yang mengakibatkan individu berkenaan tersangat mudah dijangkiti oleh beraneka kuman (Rusli Nordin 1997: 2).
Ini bermakna penyakit AIDS diperolehi melalui jangkitan virus yang dinamakan HIV sementara AIDS ialah peringkat akhir bagi jangkitan virus tersebut.

BAGAIMANA SESEORANG BOLEH DIJANGKITI HIV-AIDS
Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia, seseorang boleh dijangkiti HIV dan AIDS dan mengjangkitkan virus tersebut kepada individu lain melalui lima saluran utama iaitu:
(a)      perkongsian jarum atau syringe yang mengandungi darah yang      tercemar dengan HIV;
(b)     hubungan seksual dengan pembawa HIV;
(c)      jangkitan daripada ibu yang dijangkiti dengan HIV dan AIDS kepada bayi;
 (d)    trasfusi darah dan produk darah yang mengandungi HIV; dan
 (e)    pemindahan organ yang dicemari HIV.
Sumber virus HIV dan AIDS yang boleh mengakibatkan jangkitan pula ialah:
a)      air mani;
b)     darah;
c)      cecair faraj servik; dan
d)     susu ibu.
                                                                  

Manakala virus HIV boleh didapati pada jumlah yang sedikit dalam:
a)      air liur;
b)     air mata;
c)      air kencing sel mononuclear;
d)     cecair serebrospinal; dan
e)     sum-sum tulang dan otak (Aminuddin 1992: 36).

SIAPA YANG BERISIKO DIJANGKITI HIV-AIDS?
Individu-individu berisiko tinggi yang boleh dijangkiti dan menyebarkan jangkitan HIV AIDS terdiri daripada dua kategori utama iaitu:
i)            Penagih dadah
ii)           Pengamal seks bebas dan luar tabii yang terdiri daripada pelacur atau pekerja seks, heteroseksual, biseksual dan homoseksual.
iii)                golongan pesakit HIV dan AIDS yang dikategorikan sebagai mangsa. Mereka mendapat jangkitan daripada golongan pembawa daripada dua kategori utama yang telah dijangkiti virus HIV. Golongan mangsa ini terdiri daripada isteri, suami, anak-anak, janin dalam kandungan, penerima darah dan organ, paramedik, pengurus jenazah dan rakyat awam                                                                                                                        

SEJARAH  HIV DAN AIDS
Kes HIV dan AIDS pertama dikesan bermula di Amerika Syarikat pada tahun 1980 apabila sekumpulan homoseksual dari Amerika Syarikat mengadakan hubungan seks dengan homoseksual dari Afrika di Kepulauan Haiti.
Homoseksual dari Amerika kemudiannya telah dijangkiti kuman HIV dan kerana beberapa sebab mereka telah mengalami pembinasaan sistem keimunan dan seterusnya menunjukkan gejala-gejala serta tanda-tanda penyakit AIDS. (Rusli 1997: 3).
Bermula daripada kes pertama ini, HIV dan AIDS mula merebak ke seluruh dunia dengan pantasnya dan tiada satu pun benua yang terkecuali daripada menerima wabak ini. Menurut WHO, pada tahun 2009 sebanyak 33.3 juta penduduk dunia menghidap HIV, 2.6 juta penghidap baru HIV dan 1.8 juta mati akibat AIDS. (Global Report WHO 2009: 2010)

SEJARAH  HIV DAN AIDS DI MALAYSIA
Di Malaysia, kes AIDS pertama dikesan pada Disember 1986 apabila seorang warganegara Amerika Syarikat berumur 45 tahun dari Malaysia disahkan menghidap AIDS dan meninggal dunia di Amerika Syarikat akibat pneumonia yang teruk (Rusli 1997: 22). Bermula daripada kes ini, jumlah penghidap HIV dan AIDS di Malaysia mula meningkat dari tahun ke tahun. Pada tahun 1986, penghidap HIV di Malaysia hanya empat orang, sepuluh tahun kemudian iaitu pada tahun 1996 jumlah kes jangkitan meningkat kepada 4859 orang iaitu peningkatan sebanyak 121 475% (Aishah 2000: 539). Pada tahun 2006, jumlah kes HIV dan AIDS terus meningkat kepada 72 000 kes (United Nations HIV/AIDS Theme Group Malaysia 2007). Tahun 2010, 77 084 kes HIV dan AIDS dicatatkan dan Kementerian Kesihatan Malaysia menjangkakan angka ini akan terus meningkat kepada 300 000 kes menjelang 2015 ( Nadzran & Rozeman 2010: 385).

Statistik HIV-AIDS
Di Malaysia sehingga Disember 2010, Majlis Aids Malaysia melaporkan bahawa terdapat 77,084 rakyat Malaysia yang hidup bersama HIV dengan 3652 kes baru dicatatkan, 1035 kes AIDS dan 904 kes kematian melibatkan AIDS. Kadar jangkitan HIV kebangsaan pula ialah 12.9 kes bagi 100 000 orang. Dari segi gender, sejak epidemik ini bermula di Malaysia pada 1986 masih menunjukkan golongan lelaki menjadi populasi tertinggi dijangkiti HIV dengan 81.7% (2985 orang) kes baru dilaporkan, sementara wanita dan gadis sebanyak 18.3% (668 orang). Manakala kumpulan umur tertinggi yang dijangkiti HIV ialah 20-49 tahun.

Risiko hubungan seks bebas
Sesuatu yang harus diberikan perhatian dan agak membimbangkan apabila saluran jangkitan HIV telah menunjukkan perubahan. Jika tahun-tahun sebelum ini penagihan dadah menjadi saluran utama penyebaran HIV tetapi pada tahun 2010 menunjukkan saluran hubungan seks (heteroseksual, homoseksual dan biseksual) telah mengatasi saluran penagihan dadah iaitu 48.7% berbanding 47.4%. Laporan ini sekaligus membayangkan saluran hubungan seks dijangka akan menjadi saluran jangkitan utama HIV bagi tahun-tahun seterusnya. Jika penagihan dadah didominasi oleh penagih lelaki, sebaliknya hubungan seks melibatkan kedua-dua populasi lelaki dan wanita yang mana risiko penyebaran HIV menjadi lebih luas.
Antara ketiga-tiga jenis hubungan seks, hubungan jenis heteroseksual paling berisiko kerana ia adalah hubungan seksual lazim yang menjadi amalan tingkah laku kebanyakan manusia, lelaki dan wanita bahkan dijadikan sumber pendapatan oleh golongan pekerja seks.


IDENTITI SEBAGAI PESAKIT
Apabila mendengar perkataan HIV dan AIDS, pasti sebahagian daripada masyarakat tidak dapat mengelak daripada mengaitkannya dengan tingkah laku menyalahi agama dan moral. Dalam masa yang sama timbul rasa curiga untuk mendekati dan berinteraksi secara dekat dengan alasan takut dijangkiti. Sekalipun bukan atas alasan takut dijangkiti, keinginan untuk mendekati pesakit HIV dan AIDS tidak terzahir secara spontan seperti mana yang sepatutnya berlaku dalam jalinan sebuah anggota masyarakat. Jika ada anggota masyarakat yang menghidap penyakit diabetis, hipertensi, strok atau jantung, anggota masyarakat yang lain dengan cepat akan melahirkan rasa simpati dan melakukan ziarah ke atas pesakit.
Di samping itu, walaupun ada beberapa jenis penyakit yang dikategorikan sebagai penyakit berjangkit seperti influenza, campak (measles), cacar (chicken pox) dan tibi, namun penerimaan masyarakat terhadap individu yang dijangkiti penyakit ini berbeza dan lebih terbuka. Malahan bagi sesetengah anggota masyarakat yang melawat pesakit-pesakit ini tidak pula mengambil langkah-langkah pencegahan bagi mengelakkan daripada jangkitan seperti yang disarankan oleh doktor dengan alasan tidak mahu pesakit merasa terhina dengan keadaan mereka. Berlainan dengan pesakit HIV dan AIDS, walaupun anggota masyarakat dapat melihat derita fizikal dan adakalanya merasai derita emosi yang ditanggung oleh mereka, anggota masyarakat memilih untuk tidak memberikan simpati kepada golongan ini. Sekalipun wujud perasaan simpati dan kasihan, ia tidak disusuli dengan pertolongan dan sokongan fizikal, bahkan secara terbuka atau berhemah mereka cuba menjauhkan diri daripada pesakit HIV dan AIDS.
Menyedari tindakbalas pasif masyarakat terhadap pesakit HIV dan AIDS, kebanyakan individu yang disahkan menghidap penyakit ini memilih untuk merahsiakan identiti mereka sebagai pesakit HIV dan AIDS. Kajian Fatan Hamamah ( 2005) menunjukkan majoriti informan (47 informan HIV Seropositif dan 10 Informan AIDS) memilih untuk tidak memberitahu keadaan mereka yang telah dijangkiti HIV kepada orang lain termasuk kepada ahli keluarga terdekat. Kesemua informan takut kepada diskriminasi, penyisihan dan kemungkinan dibiarkan bersendirian semasa terlantar sakit oleh orang-orang di sekeliling mereka. Pendedahan tentang status diri yang HIV positif sekaligus boleh menyebabkan identiti mereka yang selama ini tersembunyi atau private (identiti gay, pelacur atau penagih) diketahui umum. Apabila identiti private mereka diketahui, bukan hanya pesakit yang menerima tindakbalas disisihkan, bahkan keluarga mereka juga akan menerima akibatnya.
Pesakit HIV dan AIDS akan melalui dua tahap identiti pesakit iaitu tahap HIV dan tahap AIDS. Tidak semua pesakit yang dijangkiti HIV akan mendapat AIDS, walau bagaimanapun ia tetap akan berakhir dengan kematian. Pesakit yang mempunyai virus HIV yang berterusan yang akan membawa kepada AIDS berlaku mengikut kadar yang berlainan. Jangkamasa inkubasi virus HIV untuk bertukar daripada saat pendedahan kepada virus sehingga menjadi penyakit AIDS adalah berbeza-beza mengikut individu, mungkin mengambil masa dua hingga sepuluh tahun (Aminuddin 1992: 48). Bahkan sesetengah individu yang dijangkiti HIV bebas daripada AIDS selama 14 tahun atau lebih (Bloor 1995: 6).
Pada tahap pertama iaitu tahap HIV, pembawa virus ini tidak menunjukkan sebarang gejala kesakitan atau cuma mengalami pembengkakan limfadenopati yang berterusan (Aminuddin 1992: 48). Oleh sebab waktu pengeraman HIV memakan masa yang lama tanpa sebarang simpton, pesakit yang telah disahkan mempunyai virus HIV boleh menyembunyikan identiti mereka sebagai pesakit HIV. Mereka boleh menjalani kehidupan berkeluarga dan bermasyarakat seperti biasa kerana mereka kelihatan sihat. Kerahsiaan identiti ini boleh berlaku sama ada secara langsung iaitu bagi pesakit yang telah mengetahui status HIV mereka dan secara tidak langsung iaitu bagi mereka yang tidak mengetahui bahawa mereka telah dijangkiti HIV terutama bagi golongan dalam kategori mangsa.
Pada tahap kedua, iaitu apabila virus HIV merebak ke tahap AIDS, pesakit mula mengalami simpton-simpton AIDS. Kebanyakan pesakit mula sedar akan masalah kesihatan mereka pada peringkat ini dan mula berjumpa doktor. Pesakit boleh mengalami gejala-gejala seperti demam melebihi 38c, berat badan berkurangan melebihi 10%, pembengkakan kelenjar, cirit-birit, letih, kurang daya fizikal, berpeluh malam dan sebagainya (Aminuddin 1992: 47). Pada peringkat ini sistem keimunan pesakit amat terjejas. Pelbagai jangkitan opurtunis dan tumor akan terjadi sehingga boleh menyebabkan kematian seperti jangkitan paru-paru (pneumonia), tibi, kandidiasis, sarkoma kaposi, kanser kulit, kanser pada anorektus (kawasan anus), limforma dan sebagainya (Aminuddin 1992: 48).
Pada tahap ini, walaupun gejala AIDS telah mulai kelihatan, pesakit-pesakit AIDS masih boleh menyembunyikan identiti sebenar mereka sebagai pesakit AIDS kecuali jika identiti seksual, pekerjaan dan identiti sebagai penagih dadah telah terbongkar lebih awal. Ini kerana AIDS adalah penyakit yang berangkai dengan pelbagai penyakit lain. Maka pesakit AIDS boleh memaklumkan masyarakat bahawa mereka adalah pesakit tibi, barah, kanser kulit atau sebagainya demi mengelakkan diskriminasi dan prejudis masyarakat terhadap mereka sekiranya status mereka sebagai pesakit AIDS terdedah. Sifat penyakit AIDS yang berangkai dengan penyakit lain ini juga boleh mengelirukan penghidap dan juga pengamal perubatan seperti doktor dan pembantu hospital dalam membuat diagnosa yang tepat (Aishah 2000: 540).
Selain itu, sifat penyakit ini yang berjangkit dan berangkai dengan penyakit lain mengundang risiko yang amat berbahaya kepada mereka yang mempunyai kontak secara langsung dengan pesakit-pesakit AIDS sama ada golongan pesakit yang sengaja menyembunyikan identiti pesakit mereka atau golongan yang sememangnya tidak pernah tahu bahawa dirinya telah dijangkiti AIDS. Mereka yang mempunyai kontak secara langsung dengan pesakit ini pastinya tidak mengambil langkah-langkah berjaga-jaga bagi mengelakkan jangkitan AIDS kerana mereka menyangkakan status pesakit tersebut adalah berkaitan penyakit yang berangkai tadi.
Mengetahui identiti pesakit HIV dan AIDS adalah sangat penting dalam usaha mengurangkan penyebaran jangkitan penyakit ini. Namun bagaimanakah ia akan tercapai jika pesakit sendiri merahsiakan identiti mereka?
Tambahan pula sehingga kini belum ada undang-undang yang mewajibkan mereka mendedahkan status penyakit mereka kepada umum. Dalam hal ini, kejujuran, keberanian dan keyakinan dalam diri pesakit HIV dan AIDS untuk menghadapi kenyataan satu-satunya harapan yang ada supaya mereka mendedahkan identiti mereka sebagai pesakit AIDS terutama kepada ahli keluarga terdekat seperti isteri, suami, anak-anak, ibu bapa dan mereka yang menjaga pesakit ini ketika terlantar sakit bagi mengelakkan HIV dan AIDS daripada terus mengjangkiti orang lain.
Kita mengharapkan pesakit-pesakit AIDS ini tidak melakukan kesilapan berganda. Sekiranya mereka telah melakukan kesilapan dengan melacur atau melanggan pelacur, menagih dadah dan melakukan hubungan seks luar tabii, kesilapan ini tidak sepatutnya ditambah dengan menyebarkan virus berbahaya ini kepada orang lain. Ini kerana suatu masa apabila identiti seseorang pesakit terdedah dan dia diketahui menjadi punca kepada jangkitan penyakit ini, kebencian dan kemarahan terhadapnya terutama oleh ahli keluarga terdekat seperti isteri dan anak-anak akan berpanjangan walaupun selepas kematiannya. Untuk melihat mereka berterus-terang tentang penyakit yang dihidapi, penghidap HIV dan AIDS ini memerlukan sokongan moral melalui penerimaan terbuka ahli keluarga dan masyarakat terhadap kesilapan mereka.
Sokongan ahli keluarga dan masyarakat akan memberi kekuatan kepada mereka untuk berdepan dengan realiti, sementara keikhlasan seorang pesakit untuk merubah cara hidupnya pula akan melahirkan keterbukaan dan sokongan masyarakat terhadapnya. Justeru, kedua-dua pihak perlu bertindak serentak dalam menangani isu ini.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan